ghuroba

“Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR. Muslim [145] dalam Kitab al-Iman.Syarh Muslim, 1/234).


Bagaimana orang yang dikatakan sahabat? Mungkin dia selalu bersama temankan kita pergi membeli belah atau makan bersama atau belajar dan bekerja bersama. Atau dia bersama temankan kita untuk menyelesaikan masalah peribadi atau merawat kita semasa sakit, boleh jadi juga dia tumpang menangis kala kita kesedihan.

Sesiapa pun boleh jadi sahabat kita. Oleh itu, bukanlah individu yang menjadi hal besarnya, keutamaannya adalah nilai.

Tiada manusia yang unggul nilai persahabatan melainkan mereka bersama kita dengan aqidah yang satu. Sahabat terbaik pernah ada dalam sejarah manusia ialah para sahabat Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW terutamanya sahabat yang empat; Abu Bakar as-Siddiq RA, Umar al-Khattab RA, Uthman al-Affan RA dan Ali Abi Talib KW.

Nilai persahabatan mereka terletak kepada keperibadian dan perjuangan mereka di sisi Rasulullah dan untuk ummah ini. Mari kita soroti secara ringkas karektor-karektor ini:

Abu Bakar as-Siddiq RA

Dia paling berusia tetapi tuanya tidak seperti mereka yang seusianya. Setiap yang datang dari Baginda Nabi SAW pasti segera diakuinya tanpa ragu dan berkira-kira lagi. Ketika diangkat menjadi khalifah pertama, beliau berusaha menyelesaikan isu golongan yang enggan menyelesaikan pembayaran zakat. Bukan sekadar khilaf dan sikap sedemikian dihadapinya, mereka-mereka yang mendakwa sebagai Nabi juga diperanginya. Menyusuri kehidupannya, ternyata beliau seorang yang sangat kuat aqidahnya dan menjadi pemimpin yang sentiasa memelihara aqidah umat.

Umar al-Khattab RA

Beliau terkenal dengan keberaniannya, sebaik sahaja mengangkat syahadah dihadapan Baginda Nabi SAW, beliau segera mengajak kaum muslimin agar mengisytiharkan keIslaman tanpa bimbang. Beliau menjadi pembela kepada para sahabat. Semasa menjadi khalifah, beliau sangat menjaga hal ehwal kebajikan umat Islam. Hatta pernah beliau menjelajah malam yang sejuk, menyamar untuk mengetahui keadaan hidup rakyatnya.

Uthman al-Affan RA

Beliau memiliki dua puteri Rasulullah sebagai isteri. Keistimewaan Uthman tersohor kepada setiap umat Islam. Di masa beliau menerajui pemerintahan khalifah, kesedarannya terhadap para huffaz yang telah ramai syahid menyebabkan beliau segera mengumpulkan mereka untuk al-Qur’an ditulis dan dibukukan. Beliau juga menyelaraskan panduan bacaan dengan mewujudkan tanda bacaan seragam.

Ali Abi Talib KW

Menjadi sahabat muda yang sanggup meletakkan diri di tempat tidur Rasulullah SAW walaupun diketahuinya kemungkinan maut. Beliau bukan sahaja terkenal gagah hingga pernah dilantik mengetuai angkatan perang, tetapi juga seorang yang lemah lembut dan berperawakan mulia. Di zaman beliau menjadi khalifah, sesama umat sering bertelagah dan Ali sering muncul sebagai pendamai.

Kesimpulan

Justeru, bagaimana rupa paras dan perwatakan kita kepada sahabat kita? Kita jauh dari mengikuti keperibadian Rasulullah biarpun sentiasa beriltizam dan berusaha. Namun sekurang-kurangnya teladan sahabat yang utama boleh diikuti dalam menjadi sahabat kepada sahabat kita. Nilai yang telah ditunjukkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali jika pun tidak ada keempat-empatnya pada nilai persahabatan kita, maka unggulilah satu darinya. Sama ada kita cuba menjadi seperti Abu Bakar yang memelihara aqidah sahabat atau seperti Umar menjaga kebajikan sahabat dan rakyatnya. Barangkali menjadi sahabat seperti Uthman yang memberi ilmu dan mengajarkan al-Qur’an kepadanya. Mungkin juga kita menjadi seorang yang sentiasa mendamaikan sahabatnya seperti Ali.


Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment

Labels

PENGIKUT SETIA